Sektor pertahanan negara menerima suntikan kekuatan baharu apabila syarikat tempatan, Kemalak Aerospace Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Global Component Asia (GCA) dan Global Systèmes Asia (GSA)

23/05/2025

LANGKAWI, 22 MEI – Sektor pertahanan negara menerima suntikan kekuatan baharu apabila syarikat tempatan, Kemalak Aerospace Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Global Component Asia (GCA) dan Global Systèmes Asia (GSA) bagi menyokong penyelenggaraan avionik dan komponen pesawat FA-50M.

Usaha sama itu bertujuan memperkukuh keupayaan penyelenggaraan tempatan untuk pesawat pejuang ringan yang bakal berkhidmat dalam inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Langkah ini dilihat sebagai satu pencapaian strategik dalam memperkukuh kemandirian sistem sokongan pertahanan negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap pihak luar dalam aspek penyelenggaraan aset kritikal.

Kerjasama tiga hala ini diumumkan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) dan merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih besar yang diketuai GCA untuk membangunkan ekosistem MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) tempatan bertaraf global.

Kemalak Aerospace diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt. Kol. (B) Khyril Faizi Amdan, seorang veteran TUDM yang berpengalaman lebih 25 tahun sebagai juruterbang pesawat pejuang dan pegawai perancang strategik dalam angkatan udara. Di bawah kepimpinan beliau, syarikat itu menggabungkan kepakaran ketenteraan dan komersial bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan aset pertahanan negara.

GCA, selaku peneraju dalam penyelesaian MRO komponen elektrik dan pencahayaan yang diiktiraf oleh CAAM dan FAA, bertindak sebagai penyelaras utama dalam inisiatif ini. GSA pula membawa kepakaran dalam integrasi sistem avionik dan kejuruteraan semula, sekali gus melengkapkan rangkaian sokongan teknikal untuk pesawat FA-50M.

Langkah ini bukan sahaja menyumbang kepada kesiagaan operasi TUDM, malah membuka peluang pembangunan bakat tempatan melalui pemindahan teknologi, latihan teknikal, dan pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang aeroangkasa pertahanan.

Kerjasama ini turut disifatkan sebagai antara tonggak penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab penyelenggaraan dan kejuruteraan pertahanan serantau yang mampan dan berdikari.– airtimes.my

FULL ARTICLE