LANGKAWI, 22 MEI – Pembangunan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) tempatan kini bergerak ke hadapan susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Global Component Asia (GCA) dan Pen Aviation yang aktif dalam pembangunan teknologi UAS berprestasi tinggi.
Inisiatif ini menyasarkan penghasilan sistem UAS yang boleh digunakan oleh agensi pertahanan dan penguatkuasaan, merangkumi misi pemantauan, rondaan taktikal dan pengumpulan risikan secara masa nyata.
Pelaburan strategik dalam Pen Aviation oleh Global Systèmes Asia (GSA), yang turut terlibat dalam kerjasama ini, dijangka mempercepat kemajuan reka bentuk, integrasi sistem dan pematuhan kawal selia bagi membolehkan penggunaan operasi dalam skala sebenar.
GCA melalui kenyataan bersama berkata, kerjasama ini berlandaskan komitmen untuk mempercepat inovasi serta mengukuhkan keupayaan teknologi pertahanan negara sedia ada.
“Kerjasama antara GCA dan rakan strategiknya memperkukuhkan sektor aeroangkasa dan pertahanan Malaysia dengan mempromosikan inovasi, membangunkan bakat tempatan dan meningkatkan daya saing sendiri. Semua pihak komited untuk membina industri yang lebih maju dan mampan,” katanya selepas majlis menandatangani MoU di Pameran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa (LIMA’25).
Precision Engineering Technology Malaysia Sdn. Bhd. menandatangani MoU bersama Global Component Asia (GCA). Foto: AirTimes/ Zulhaizi
Sementara itu, GCA turut menjalin kerjasama bersama Precision Engineering Technology Malaysia (PETECH) yang khusus dalam kejuruteraan berketepatan tinggi dan pembuatan produk termaju untuk sektor aeroangkasa dan pertahanan.
Keupayaan PETECH meliputi fabrikasi digital, pembuatan aditif (pencetakan 3D) serta kepakaran dalam pemesinan Kawalan Berangka Komputer (CNC), disamping pematuhan terhadap piawaian antarabangsa.
Ini sekali gus membolehkan penghasilan komponen pertahanan kritikal mampu dilakukan dalam negara bermula daripada prototaip ke pengeluaran dan ujian lapangan. Fasa ini dilihat penting bagi membina rantaian bekalan tempatan yang kukuh. -airtimes.my
Lot 1-4, Ex-Customs Building, Helicopter Center, Malaysia International Aerospace Center, Sultan Abdul Aziz Shah Airport,, 47200 Subang, Selangor, Malaysia