Global Component Asia (GCA) dan Global Systemes Asia (GSA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kemalak Aerospace Sdn. Bhd.

23/05/2025

LANGKAWI 23 Mei – Global Component Asia (GCA) dan Global Systemes Asia (GSA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kemalak Aerospace Sdn. Bhd. bagi menyokong penyelenggaraan pesawat FA-50M.

Ia membabitkan sistem avionik dan komponen pesawat tempur tersebut.

Kerjasama tiga hala ini diumumkan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) di sini.

GSA dalam kenyataan memaklumkan, usaha sama itu bertujuan memperkukuh keupayaan penyelenggaraan tempatan untuk pesawat pejuang ringan yang bakal diterima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Langkah tersebut merupakan satu pencapaian strategik dalam memperkukuh daya berdikari sistem sokongan pertahanan negara dalam aspek penyelenggaraan aset kritikal.

“Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih besar yang diketuai GCA untuk membangunkan ekosistem MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) tempatan bertaraf global,” ujar kenyataan tersebut.

GCA selaku peneraju dalam penyelesaian MRO komponen elektrik yang diiktiraf oleh CAAM dan FAA bertindak sebagai penyelaras utama dalam inisiatif ini.

GSA pula membawa kepakaran dalam integrasi sistem avionik dan kejuruteraan semula, sekali gus melengkapkan rangkaian sokongan teknikal untuk pesawat FA-50M.

Kerjasama ini turut disifatkan sebagai antara tonggak penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab penyelenggaraan dan kejuruteraan pertahanan serantau yang mampan dan berdikari.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan semasa menguji pesawat FA-50 di Korea.

Langkah ini bukan sahaja menyumbang kepada kesiagaan operasi TUDM, malah membuka peluang pembangunan bakat tempatan melalui pemindahan teknologi, latihan teknikal dan peluang pekerjaan.

TUDM pada 2023 membeli pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI) yang mana ia membuka peluang penyertaan banyak syarikat tempatan sekali gus meneroka kerjasama ekonomi.

Sebahagian daripada 18 buah pesawat FA-50M (Block 20) ini akan diterima TUDM pada Oktober tahun depan secara berperingkat-peringkat.

Mengikut perancangan TUDM berhasrat mendapatkan 36 buah pesawat FA-50M.

FULL ARTICLE –  DagangNews.com