LANGKAWI, 22 MEI – Global Component Asia (GCA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat aeroangkasa Singapura, CW Aero Services (CWAS), dalam usaha menggabungkan kepakaran kejuruteraan kedua-dua negara bagi memperkasa sektor aeroangkasa tempatan.
Kerjasama ini tertumpu kepada penyediaan Peralatan Sokongan Darat (Ground Support Equipment, GSE) serta pembangunan keupayaan teknikal baharu untuk pasaran penerbangan Malaysia, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di Langkawi.
Pengerusi GCA, Dato’ Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, inisiatif ini bakal meningkatkan lagi tahap kecekapan dan daya saing industri aeroangkasa Malaysia dengan memperkenalkan inovasi berteknologi tinggi menerusi gabungan kepakaran tempatan dan antarabangsa.
“Kita melihat gabungan ini sebagai titik permulaan penting dalam usaha melonjakkan industri aeroangkasa Malaysia ke peringkat global. Kami yakin, sinergi dengan CWAS mampu menghasilkan penyelesaian teknikal yang lebih inovatif dan lestari,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kolaborasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada operasi syarikat, tetapi turut menyokong matlamat negara dalam mewujudkan ekosistem penerbangan yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk jangka panjang.
Di bawah MoU yang dimeterai pada 21 Mei, kedua-dua pihak akan bersama-sama melaksanakan strategi pemasaran dan promosi produk serta perkhidmatan. CWAS juga akan membantu GCA membentuk pasukan teknikal dan kejuruteraan khusus yang mampu memberikan sokongan lebih meluas kepada pelanggan tempatan.
Satu lagi komponen utama kerjasama ini adalah integrasi teknologi Test Bench CWAS dalam operasi GCA, merangkumi penyelenggaraan, pembaikan, automasi, serta reka bentuk sistem ujian baharu.
Pengarah Urusan CWAS, Julien Valette pula menyifatkan kerjasama dengan GCA sebagai peluang terbaik untuk memperkukuh kedudukan syarikatnya dalam pasaran Malaysia, yang beliau sifatkan sebagai antara yang paling strategik di Asia Tenggara.
“Malaysia memiliki potensi besar dalam sektor aeroangkasa. Kami yakin, dengan gabungan pengalaman CWAS dalam reka bentuk sistem ujian canggih serta keupayaan teknikal GCA, kami mampu memperkenalkan teknologi yang berimpak tinggi serta memberi nilai tambah sebenar kepada industri tempatan,” jelas beliau.
Tambah Julien lagi, kerjasama ini turut membuka laluan kepada pembangunan penyelesaian digital dan Internet Perkara Perindustrian (IIoT) yang kini semakin penting dalam meningkatkan kecekapan operasi aeroangkasa.
“Kolaborasi ini melangkaui kerjasama perniagaan semata-mata. Ia adalah perkongsian strategik untuk memacu inovasi teknologi aeroangkasa serta pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan, sekali gus menyokong aspirasi negara dalam menjadi pusat aeroangkasa serantau,” katanya.
GCA merupakan syarikat penyedia perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) terkemuka di Malaysia yang diperakui oleh pihak berkuasa penerbangan tempatan dan antarabangsa seperti CAAM dan FAA, dengan kepakaran dalam komponen elektrikal serta pencahayaan pesawat.
CW Aero Services yang berpangkalan di Singapura pula terkenal dengan inovasi teknologi dalam reka bentuk peralatan sokongan penerbangan, menggunakan kepakaran dalam Kecerdasan Buatan (AI), penyelenggaraan ramalan dan teknologi Industri 4.0 bagi meningkatkan kecekapan serta keselamatan industri.
“Kami percaya, dengan menggabungkan pengalaman antarabangsa dan tempatan, usaha sama ini mampu menjadi pemangkin kepada industri aeroangkasa Malaysia yang lebih kompetitif dan berdaya tahan,” ujar Dato’ Nonee Ashirin lagi.
Beliau menambah, GCA juga komited dalam memastikan kerjasama ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada tenaga kerja tempatan, sekali gus menyokong matlamat nasional ke arah pembangunan bakat dalam industri aeroangkasa.
“Ini bukan sekadar teknologi; sebaliknya tentang mewujudkan peluang baharu buat rakyat Malaysia dalam bidang aeroangkasa yang semakin mencabar,” tambah beliau.
Kerjasama strategik antara GCA dan CWAS ini secara keseluruhannya dijangka mampu mempercepatkan pertumbuhan industri aeroangkasa negara, di samping memperkukuhkan lagi hubungan kejuruteraan antara Malaysia dan Singapura untuk jangka masa panjang. – airtimes.my
Lot 1-4, Ex-Customs Building, Helicopter Center, Malaysia International Aerospace Center, Sultan Abdul Aziz Shah Airport,, 47200 Subang, Selangor, Malaysia